Isnin, 18 Disember 2017
 
   
 
+
 
-
 
:
     
Carian:
  • Majlis Bersama Kebangsaan
  • 1. Apa Itu MBK?

    Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) merupakan platform perundingan di peringkat kebangsaan meliputi kesemua skim perkhidmatan. Perwakilan MBK terdiri daripada ahli-ahli kesatuan dan persatuan yang merupakan penjawat awam yang sedang berkhidmat di kementerian/jabatan persekutuan/negeri, Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan. Kelulusan penubuhan MBK adalah melalui keputusan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perjawatan dan Gaji Pekerja-pekerja Sektor Awam (JKK-MPGSA) atau kini dikenali sebagai Jawatankuasa Kabinet Transformasi Perkhidmatan Awam (JKK-TPA).

  • 2. Sejarah Penubuhan

    Melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5 Tahun 1973, tiga (3) MBK dan juga Majlis Bersama Jabatan (MBJ) ditubuhkan bagi menggantikan Majlis-majlis Kebangsaan Whitley Pekerja-pekerja Bahagian I-IV dan Kumpulan Perusahaan dan Buruh Kasar, Majlis Bersama Kebangsaan bagi Guru-guru, Majlis-majlis Whitley Sabah dan Sarawak, Majlis-majlis Whitley Jabatan, Jawatankuasa-jawatankuasa Perhubungan dan Majlis-majlis Bersama Badan-badan Berkanun dan Kuasa-kuasa Tempatan.

    Tiga (3) Majlis Bersama Kebangsaan yang ditubuhkan pada 1973 adalah:

    a) Majlis Bersama Kebangsaan bagi Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam termasuk Perkhidmatan Pelajaran;

    b) Majlis Bersama Kebangsaan bagi Pekerja-pekerja dalam Badan-badan Berkanun termasuk Kuasa-kuasa Tempatan; dan

    c) Majlis Bersama Kebangsaan bagi Perkhidmatan Polis.

     

    Pada tahun 1979, semakan semula MBK telah dibuat untuk meluaskan penyertaan Pihak Pekerja. Susulan itu, melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 1979, ketiga-tiga MBK tersebut telah dibubar dan digantikan dengan lima (5) MBK seperti berikut:

    a) Majlis Bersama Kebangsaan bagi Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam selain daripada Pekerja-pekerja Kumpulan Rendah dan Buruh Kasar;

    b) Majlis Bersama Kebangsaan bagi Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Pelajaran;

    c) Majlis Bersama Kebangsaan bagi Pekerja-pekerja dalam Badan-badan Berkanun;

    d) Majlis Bersama Kebangsaan bagi Pekerja-pekerja dalam Kuasa-kuasa Tempatan; dan

    e) Majlis Bersama Kebangsaan bagi Pekerja-pekerja dalam Kumpulan Rendah dan Buruh Kasar dalam Perkhidmatan Awam.

     

    Pada tahun 1992, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perjawatan Dan Gaji Pekerja-Pekerja Sektor Awam telah mengkaji jentera perhubungan sektor awam sejajar dengan pelaksanaan Sistem Saraan Baru (SSB) yang berkuat kuasa pada 1 Januari 1992.

    SSB telah membawa beberapa perubahan besar dalam sektor Perkhidmatan Awam. Perubahan yang paling ketara ialah pembahagian peringkat kumpulan perkhidmatan kepada tiga (3) kumpulan sahaja iaitu Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Sokongan.

    Bagi memudahkan hubungan antara Pihak Pegawai dengan Pihak Pekerja, melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 1992, lima (5) MBK yang diwujudkan pada tahun 1979 telah digantikan dengan tiga (3) MBK yang baharu, iaitu:

    a) Majlis Bersama Kebangsaan bagi Pekerja-pekerja Pengurusan dan Profesional;

             • meliputi semua gred di bawah Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

    b) Majlis Bersama Kebangsaan bagi Pekerja-pekerja Sains dan Teknologi dalam Kumpulan Pelaksana; dan

            • meliputi semua gred di bawah Kumpulan Pelaksana dalam perkhidmatan teknikal yang terdiri daripada Klasifikasi Perkhidmatan:

    i) Pengangkutan;

    ii) Sains;

    iii) Sistem Maklumat;

    iv) Kejuruteraan;

    v) Penyelidikan dan Pembangunan;

    vi) Kemahiran; dan

    vii) Perubatan dan Kesihatan.

    c) Majlis Bersama Kebangsaan bagi Pekerja-pekerja Am Dalam Kumpulan Pelaksana.

    • meliputi semua gred di bawah Kumpulan Pelaksana dalam perkhidmatan selain teknikal yang terdiri daripada Klasifikasi Perkhidmatan:

    i) Bakat dan Seni;

    ii) Pendidikan;

    iii) Ekonomi;

    iv) Pertanian;

    v) Keselamatan dan Pertahanan Awam;

    vi) Perundangan dan Kehakiman;

    vii) Pentadbiran dan Sokongan;

    viii) Sosial; dan

    ix) Kewangan.

    Platform baharu ini secara prinsipnya telah meliputi kesemua skim perkhidmatan dengan perwakilan yang diwakili oleh kesatuan dan persatuan yang terdapat di kementerian/jabatan persekutuan/negeri, Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.  

  • 3. Bidang Dan Fungsi

    MBK berperanan dalam:

    a) Memberi pendapat dan membincangkan prinsip-prinsip saraan, elaun, kemudahan dan syarat-syarat perkhidmatan bagi pekerja-pekerja sektor awam. Perbincangan adalah berkaitan perkara-perkara dasar perkhidmatan awam secara umum; dan

    b) Membolehkan Pihak Pegawai mengemukakan cadangan perubahan atau makluman mengenai perkembangan-perkembangan baharu untuk mendapat ulasan dan pandangan Pihak Pekerja sebelum dibawa untuk keputusan Kerajaan.  

  • 4. Peraturan Penubuhan

    Peraturan penubuhan Majlis-majlis tersebut adalah tertakluk kepada perlembagaan masing-masing seperti di Lampiran-lampiran A, B dan C kepada Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 1992.  

  • 5. Keahlian MBK

    Struktur MBK terdiri daripada:

    a) Ahli Pihak Pegawai : ahli-ahli dilantik oleh YAB Perdana Menteri Malaysia di atas jawatan masing-masing.

    b) Ahli Pihak Pekerja : ahli-ahli dipilih dalam konvensyen di kalangan Pihak Pekerja yang diadakan dua (2) tahun sekali (dwi-tahunan) oleh wakil kesatuan-kesatuan sekerja dan persatuan- persatuan yang bergabung dengan MBK berkenaan;dan

    tempoh perkhidmatan adalah selama dua (2) tahun bermula daripada tarikh satu-satu Majlis itu mengadakan mesyuaratnya yang pertama. Ahli-ahli tersebut boleh terus memegang jawatan sehingga ahli-ahli yang akan mengambil alih telah dilantik/dipilih.

     

  • 6. Konvensyen Dwi-Tahunan

    Konvensyen dwi-tahunan MBK merupakan program kelolaan Pihak Pekerja MBK berdasarkan kepada peraturan-peraturan yang disediakan. Tiap-tiap kesatuan sekerja dan persatuan yang berdaftar dengan pihak pendaftar (Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS), Kementerian Sumber Manusia atau Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Kementerian Dalam Negeri) dan bergabung dengan MBK berkenaan dibenarkan menghantar seorang wakil bagi tiap-tiap 500 orang ahli yang pertama dan seorang wakil tambahan bagi setiap 500 orang ahli di atas bakinya. Ahli-ahli berkenaan adalah yang telah membayar yuran mengikut Laporan Tahunan yang lalu yang disiarkan oleh pihak Pendaftar. Wakil-wakil tambahan ini dibenarkan mengambil bahagian dalam konvensyen tersebut hanya selepas menjelaskan pembayaran yang tertentu dan didaftarkan oleh pihak pengelola (Pihak Pekerja MBK).  

  • 7. Pegawai Bertanggungjawab bagi MBK

    Pegawai : Encik Mohd Faizal bin Halid

    Telefon   : 03-88855637

    Email      : faizal.halid@jpa.gov.my

     

     

  • Majlis Bersama Jabatan
  • 1. Apa itu MBJ?

    Majlis Bersama Jabatan (MBJ) ialah sebuah medium dua hala, di mana Pihak Pekerja diberi saluran untuk berkomunikasi dengan Pihak Pengurusan dalam menyuarakan pendapat, pandangan serta menyumbang idea-idea yang bernas demi kepentingan dan kebaikan organisasi.

  • 2. Penubuhan MBJ?

    Semua agensi Kerajaan yang mengendalikan secara langsung urusan pentadbiran, pengurusan sumber manusia dan hal ehwal kewangan serta mempunyai kuasa untuk menimbang dan membuat keputusan ke atas perkara-perkara tersebut adalah dikehendaki menubuhkan MBJ. Bagi tujuan penubuhan MBJ, satu draf perlembagaan yang telah dipersetujui oleh Pihak Pengurusan dan Pihak Pekerja perlu digubal terlebih dahulu dan hendaklah dikemukakan; kepada JPA untuk kelulusan.

  • 3. Bidang dan Fungsi

    Skop, bidang dan fungsi MBJ lebih menitikberatkan kepada kepentingan pekerja-pekerja dalam sesebuah organisasi. Di samping bertujuan untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh pihak pekerja, ia juga boleh dijadikan sebagai satu forum perbincangan di antara pihak pengurusan dan pekerja. MBJ yang aktif secara tidak langsung akan dapat menyemai semangat bekerja di kalangan pekerja untuk berkhidmat dengan lebih dedikasi dan produktif.

  • 4. Perkara yang Boleh Dibincangkan

    Perkara yang boleh dibincang adalah meliputi semua perkara yang berkaitan dengan keadaan bekerja kecuali yang menyentuh dasar kerajaan atau hal-hal peribadi. Walau bagaimanapun, isu berkaitan dasar boleh dibincangkan dengan tujuan menerangkan pelaksanaanya sahaja.
    Antara perkara-perkara yang boleh dibincangkan di dalam forum meliputi isu elaun dan kemudahan, kewangan, perkhidmatan, skim perkhidmatan dan perjawatan, kebajikan, pentadbiran dan hal-hal lain.

  • 5. Faedah MBJ

    Di antara faedah yang boleh didapati daripada mesyuarat MBJ ialah dapat mewujudkan hubungan dan sikap yang positif antara pihak pengurusan dan pihak pekerja,kepuasan hati, peningkatan daya pengeluaran, peningkatan kualiti kerja, penjimatan kos, kemajuan pekerja, sikap hormat menghormati, penyelesaian masalah, kesetiaan kepada organisasi, dan perpaduan.

  • 6. Pegawai Yang Bertanggungjawab bagi MBJ

    Pegawai : Cik Noor Azilah binti Abu Shahid

    Telefon   :  03-88855615

    Email      : azilah.shahid@jpa.gov.my

     

     

icopejpm  icomsc  hrmis  intan  esila  esila  pencen  spa  jpm  Puspanita JPA